Showing posts with label psglm. Show all posts
Showing posts with label psglm. Show all posts

Wednesday, October 22, 2014

MANDI MINYAK - BERANI KE?

YM Pakguru mengendalikan ujian keberanian

Tahukah anda? PSGLM menganjurkan Program Mandi Minyak pada setiap Tahun!

Program ini diadakan pada setiap bulan Mei pada setiap tahun. Program tahunan ini adalah program yang paling dinanti-nantikan oleh anak-anak gayung yang menuntut ilmu di gelanggang-gelanggang PSGLM.

Ini kerana, program ini dianggap kemuncak kepada latihan asas anak-anak gayung selepas berlatih di gelanggang selama 4 bulan. Jika di universiti, program ini bolehlah dianggap sebagai hari graduasi anak-anak gayung.

Program yang berlangsung bermula jam 8 malam ini dimulakan dengan jamuan makan malam. Selepas itu, anak-anak gayung akan berkumpul bagi menantikan ketibaan YM Pakguru ke gelanggang silat.

Majlis ini kemudiannya dibuka secara tertib dengan doa dan pengacara majlis. Selesai sahaja dibuka rasmi, program ini lantas diambil alih oleh YM Pakguru bagi mengendalikan program mandi minyak ini.

Pertamanya, YM Pakguru akan menerapkan keyakinan dalam ilmu persilatan mesti disandarkan kepada ALLAH swt. Keyakinan yang diraih mesti pada tahap tertinggi seumpama berjalan merentas gaung yang dalam dengan meniti ranting yang rapuh.

Seterusnya, anak gayung yang terpilih akan dipilih bagi memulakan proses mandi minyak. Anak gayung akan mencelup tangan ke dalam minyak panas kemudian dilumurkan ke seluruh tubuh. Juga, dibantu oleh gurulatih yang bertugas.

Selesai sahaja, anak gayung akan berbaring di atas paku atau kaca bagi menjalani ujian keyakinan. Lantas, perut anak-anak gayung akan ditetak! <--Saat paling mendebarkan bagi semua anak gayung!

Pun begitu, syukur ke hadrat ALLAH swt, tiada kemudaratan berlaku lantaran pertolongan dan keizinan ALLAH mengiringi sesi ini. Lalu, anak gayung akan 'dipepah' atau dipukul badannya dengan kain basah bagi menguji ketahanan dan kekuatan tubuh.

Akhir sekali, anak gayung akan diuji menumbuk betik muda sehingga pecah.

Program ini sangat menarik dan sangat 'momentous' bagi anak-anak gayung, dan menjadi pengalaman sekali seumur hidup yang akan menjadi kenangan sepanjang zaman mereka.

Masa dan pengalaman kini adalah khazanah, peliharalah harta Melayu ini hingga malar ke akhir zaman.

Proses penyediaan minyak bermula seawal jam 2 petang,
Proses memasak santan dimulai dengan doa

Gurulatih mesti beradab sopan dan berzikir sepanjang memasak santan
Gurulatih bertugas menimba pengalaman berharga
Jamuan makan sebelum program
Mengambil tenaga terlebih dahulu sebelum program
Anak gayung bersedia untuk program
Majlis dimulakan dengan doa dan taklimat oleh YM Pakguru
Pedang yang terbenam ke dalam beluti menandakan ketajaman pedang tersebut
Anak gayung mencelup tangan ke dalam minyak panas
Seluruh tubuh anak gayung dilumur dengan minyak panas
Anak gayung memilih untuk berbaring atas kaca atau paku untuk ujian keberanian
Anak gayung ditetak dengan pedang
Antara lain, tetakan sambil berdiri
Ujian memecah betik
Cubaan memecah betik
Seluruh kekuatan dikumpul bagi memecahkan betik
Kadang kala, pada cubaan kelima barulah betik pecah
Kesan tetakan di perut anak gayung




Tuesday, October 21, 2014

FAKTA MENARIK PSGLM


1. Maksud PSGLM:
-Pertubuhan Seni Gayung Laksamana Malaysia.

2. Pengasas PSGLM:
Allahyarham Ustaz Ismail bin Abdul Rahim.
-Allahyarham Ustaz Ismail bin Abdul Rahim. Berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera. Beliau meninggal dunia pada tahun 1987.

3. PSGLM diasaskan:
-PSGLM diasaskan dan bergerak secara tidak rasmi selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kemudian PSGLM bergerak secara rasmi setelah berdaftar sebagai sebuah 'pertubuhan' pada 1974.

4. Guru Utama PSGLM:
-Pertama: Allahyarham Ustaz Ismail bin Abdul Rahim.



YM Pendekar Tabib Haji Zakaria bin Haji Uteh. AMP., PKC.
-Kedua: YM Pendekar Tabib Haji Zakaria bin Haji Uteh. AMP., PKC., Pakguru dilahirkan pada 17 Januari 1946. Dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau menerima Pingat Kerja Cemerlang (PKC) yang dianugerahkan oleh DYTM Sultan Pahang pada 2004. Manakala Pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) diterima pada Oktober 2010.

5. Guru-guru Silat Pakguru Tabib Zakaria:

Haji Uteh bin Dollah
-Haji Uteh bin Dollah. Haji Uteh adalah bapa kepada pakguru. Beliau berketurunan ulama Pahang iaitu Haji Ibrahim. Beliau menurunkan ilmu seni silat tongkat, ilmu kerohanian, dan hakikat kepada pakguru. Haji Uteh pernah menjadi murid kepada Tok Kenali atau nama sebenarnya Mohd Yusof bin Ahmad, seorang yang karamah di Kelantan.

-Pak Busu Deris. Pakguru menuntut dengan Pak Busu Deris pada tahun 1967. Pak Busu deris mempunyai ilmu gagah dan pernah menumpaskan seekor gajah ketika mencari rotan di hutan.

-Kiyai Arshad. Pakguru menuntut dengan Kiyai Arshad pada tahun 1970 sewaktu di Selayang. Pakguru telah diijazahkan oleh Kiyai Arshad dengan ilmu kebatinan dan ilmu besi.

-Tuan Haji Yaakob bin Tawang. Beliau adalah seorang ketua kampung di Kampung Bharu, Jerantut. Hj Yaakob menggunakan ilmunya untuk menyekat komunis daripada memasuki kampung. Hj Yaakob mengajarkan ilmu agama, memasung musuh, dan ilmu kebatinan kepada pakguru.

-Pawang Nong. Pawang Nong adalah seorang Pawang DiRaja yang mempunyai ilmu kebatinan yang cukup tinggi dan terkenal di Jerantut dengan sejarah melawan musuh dan imu sihir di kampungnya (yang kini dikenali dengan nama Kampung Pawang Nong). Pawang Nong telah mengijazahkan Pakguru dengan ilmu kebatinan.

-Zakaria bin Abdul Rahim. Beliau berasal dari Indonesia. Daripada beliau, pakguru menuntut ilmu kebatinan.

-Ustaz Ismail bin Abdul Rahim Malim Mas. 
Allahyarham Ustaz Ismail bin Abdul Rahim
Ustaz Ismail adalah anak kepada ulama yang terkenal di Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia. Ketika mula-mula menjejakkan kaki di Malaysia, Ustaz Ismail menetap di Kampung Terung, Perak. Setelah diterima menjadi penduduk tetap, Ustaz Ismail berkhidmat sebagai anggota tentera sehingga berpangkat Sarjan Mejar. Setelah berkahwin, beliau berpindah ke Sungai Penchala, Selangor, dan mengasaskan PSGLM pada tahun 1974. Beliau telah mengijazahkan kepada pakguru Ijazah Kerohanian yang menjadi tuntutan anak-anak gayung sehingga kini. Ustaz Ismail meninggal dunia pada tahun 1987.

6. Sejarah PSGLM:
-1974: Mula ditubuhkan dan bergerak secara rasmi.

-1978: Demonstrasi Besar-besaran Peringkat Kebangsaan di Padang TPCA Kuala Lumpur, pada 28 Mei. Penasihat PSGLM ketika itu adalah YB Dato Sri Kamaruddin Bin Mohd Isa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Perasmian disempurnakan oleh YB Dato Saadon bin Mohd Noh, Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan.

-1980: Kementerian Belia dan Sukan telah menaja Pertubuhan untuk satu pertandingan di peringkat ASEAN di Singapura dan YM Pak Guru Ustaz Ismaildiberi penghormatan sebagai seorang Hakim dalam Pertandingan tersebut.

-1986: Allahyarham Pakguru Ustaz Ismail terlibat dalam penubuhan PESAKA kebangsaan.

-1987: Ustaz Ismail meninggal dunia. Selepas itu, PSGLM diterajui oleh YB Abdullah Hashim bin Mohd Ali sebagai Presiden, dan YM Pakguru Tabib Haji Zakaria sebagai Guru Utama.

-1997: YB Abdullah Hashim meninggal dunia. YM Pakguru Tabib Haji Zakaria menggalas tanggungjawab sebagai Presiden dan Guru Utama.

-1999: PSGLM menyambut ulangtahun Jubli Perak. Iaitu sambutan ke-25 penubuhan PSGLM. Majlis disempurnakan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Tuanku telah sudi menerima dan diselempangkan Selempang Sri Setia Perdana Laksamana Khalifah Agong DiRaja. Mulai saat itu (17 Oktober 1999), Penaung PSGLM adalah KDYTM Tengku Mahkota Pahang.

-2003: Pada 9 Oktober, Pakguru terlibat dengan Festival Seni Bela Diri DiRaja Pahang.

-2004: Pakguru Tabib Zakaria dianugerahkan Pingat PKC (Pingat Kerja Cemerlang).

-2010: Pakguru Tabib Zakaria dianugerahkan Pingat AMP (Ahli Mahkota Pahang).

-2011: Pada bulan Mei, Pakguru terlibat dengan penggambaran silat bagi penubuhan Muzium Silat di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang. Pada bulan November, Koperasi Pengamal Perubatan Tradisional Gayung Laksamana Berhad (Gama Petra Bhd) ditubuhkan.

-2012: Pada bulan Oktober, kontinjen PSGLM telah memenangi tempat kedua dalam Kejohanan Silat Tradisional Pahang. Pertandingan tersebut diadakan di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

7. Maksud Logo PSGLM:

-Menurut Undang-undang Bagi Pertubuhan Seni Gayung Laksamana Malaysia, logo PSGLM ditakrifkan seperti berikut:

-Logo Pertubuhan ini berbentuk bulat. Bendera berlatar belakangkan warna hijau dan terdapat logo pertubuhan di tengah-tengahnya. Di dalam bulatan logo tersebut terdapat sebilah keris dan sarung bersilang. Di bahagian tepi logo ini terdapat perkataan 'PERTUBUHAN SENI GAYUNG LAKSAMANA MALAYSIA'. Warna-warna yang terdapat dalam logo ini ialah merah, putih, kuning, dan hijau, yang membawa pengertian berikut:

-Merah: Sifat amanah, kesetiaan, dan semangat berani di atas kebenaran dan keadilan.
-Putih: Kejujuran, ketaatan, dan kesucian hati.
-Kuning: Kedaulatan Raja-raja dan kebenaran seni silat berkait rapat dengan Raja-raja Melayu pada zaman silam.
-Hijau: Lambang keislaman yang menjadi asas pegangan ahli pertubuhan ini.

8. Cogan kata PSGLM:
-"SENI GAYUNG LAKSAMANA MEMARTABATKAN MARUAH UMMAH".